Tuesday, December 30, 2008

Kiranya takdir itu tak mampu ku ubah, apakah aku hanya
mampu tunduk dan duduk tanda kalah?

Kalah pada sebuah harapan yang kuletak setinggi
gunung, rebah di tengah jelapang kasih yang ku bajak
tanpa kenal lelah saban ketika.

Namun, akhirnya, aku tewas juga. Ah, apa perlunya lagi
aku merintih di sini, kenapa masih perlu kurenungi
jalan hidup yang sudah tersurat kini?

Atau, aku masih mahu menanam setitis harapan di tanah
yang sudah ku tahu tahap gersangnya.

Bodohkah aku menurut kemahuan abah dulu?

Membiarkan Abah menyusun setiap perjalanan hidup yang
bakal ku lalui, membiarkan abah menjadikan masa
depanku umpama pertaruhan, di antara bahagia dan
derita?

Ah, di saat begini, tidak adil untukku menyalahkan
abah. Aku sendiri rela, menghadiahkan sebuah nilai
pengorbanan hanya untuk membahagiakan Abang Bakhtiar,
Boboy dan Yaya yang kini sudah menjadi sebahagian dari
diriku.

Along? Ternyata aku tidak mengerti tentang kehilangan
dan kehadiran Along yang tiba-tiba. Kehadiran yang
pastinya juga bakal meragut hampir keseluruhan masa
depan yang sudah kupertaruhkan. Kalau dulu Along
umpama helang yang bebas di angkasa, membelah awan nan
luas sambil megah menebarkan sayapnya, tapi kini Along
hadir di depan kami seperti merpati yang patah sayap,
menanti masa untuk segera dirawati serta dimasukkan ke
dalam sangkar indah di rumah.

"Abang dari hospital. Along kemalangan."

Hampir terlepas pinggan yang kupegang. Ternyata nama
Along sudah terlalu asing di pendengaranku sejak aku
bersuamikan Abang Bakhtiar. Tapi, kenapa hari ini nama
itu kembali meniti di bibirnya?

"Along tetap sebahagian dari kita, Lia."

Aku tidak mengerti kenapa kata-kata itu yang keluar
dari mulut umi setelah beberapa detik wajahku menjadi
habuan tatapannya.

Ya Umi, Lia mengerti. Along tetap saudara Lia dunia
akhirat. Tapi, perlukah nanti Lia berkorban lagi? Aku
bermonolog sendiri.

Berharap agar umi mengerti walau suaraku hanya
terhenti di anak tekak, tak mampu untuk kul uahkan.
Kulontarkan jauh-jauh cemburu dan curiga yang
bermukim. Pantas saja aku mempercepatkan langkah.

Sampai di muka pintu, aku terhenti sejenak. Demi
tuhan, aku mahu menjadi insan yang kaya dengan
ketabahan di saat ini. Melihat Along yang terlantar,
melihat umi yang sudah teresak-esak dan akhirnya
melihat jemari Abang Bakhtiar yang bertaut erat dengan
jemari Along yang kaku, aku jadi nanar.

Abang Bakhtiar bangun lalu menarik tanganku. Aku
bersyukur, kehadiranku ternyata masih disedarinya.
Kuhampiri Along yang terbaring, hanya berbekalkan
wayar-wayar yang bersambungan, Along masih mampu
bernafas.

Kucium dahi Along dan kubisikkan sesuatu ke
telinganya. Aku mahu Along tahu kehadiran kami di saat
ini. Dan kalau diikutkan hati wanitaku, aku juga mahu
Along tahu ikatanku dengan Abang Bahktiar sekarang.

Ah, aku terburu-buru barangkali. Namun, naluri ini
mendesak, gentar memikirkan kemungkinan-kemungkinan
yang bakal berlaku.

Malam itu aku tidak mampu terlelap. Seharian aku
menanti Abang Bakhtiar yang tidak pulang. Kata umi,
dia menemani Along di hospital. Tersirap darahku
mendengar, namun umi cepat-cepat memahami kata hatiku.

Demi tuhan, aku tidak pernah minta menjadi perampas
Abang Bakhtir dari hidup Along. Tidak pernah juga
terlintas di fikiranku ingin menghuni rumah besar ini
sebagai seorang ibu kepada Boboy dan Yaya. Namun,
takdir Tuhan akhirnya menempatkan aku dalam sebahagian
dari hidup mereka, juga menjadikan mereka separuh
daripada nyawaku sekarang.

Along yang bersalah. Itu adalah satu kepastian yang
tak dapat disangkal oleh sesiapa. Di saat kasih Abang
Bakhtiar mencurah untuknya, di kala Boboy dan Yaya
terlalu dahagakan perhatian serta kasih sayang seorang
ibu, ternyata Along gagal mencorakkan yang terbaik
buat mereka.

Along lebih suka memilih jalannya sendiri, membiarkan
diri tenggelam bersama air syaitan, hanyut di bawah
kerlipan lampu-lampu kelab malam dan membiarkan Abang
Bakhtiar serta anak-anak terumbang ambing tanpa
perhatian dan kasih sayang.

"Dia yang cabar saya, mak. Dia yang minta saya
lepaskan dia. Dia mahu bebas. Tak mahu hidup dengan
tanggungjawab," suara Abang Bakhtiar lemah waktu itu.

Dia tunduk merenung lantai. Wajah itu terlalu sugul
sewaktu dia membawa Yaya dan Boboy pulang ke kampung.
Umi dan Abah terkejut besar.

Penceraian bukan satu perkara yang main-main.
Mendengar Along dan Abang Bakhtiar berpisah, mereka
menjadi nanar seketika. Aku lebih-lebih lagi. Pelik
memikirkan ragam manusia, terutamanya Alongku sendiri.

Punya pelajaran tinggi, namun ke mana diletaknya akal
dan budi. Setahu aku, Along dan Abang Bakhtiar
bernikah atas dasar cinta. Rumah tangga mereka jelas
terukur dengan bunga-bunga bahagia. Cuma sejak Along
menjawat jawatan yang lebih tinggi di syarikatnya,
sikapnya juga mula berubah.

Keegoan Along semakin melangit dan akhirnya dek
keegoan itu jugalah mahligai Along dan Abang Bakhtiar
punah ranah dihempas tiang penceraian.

Natijahnya aku menjadi sandaran Abah dan Umi agar
menggantikan tempat Along yang sudah lupa diri. Aku
juga dipertanggungjawabkan untuk membahagiakan Boboy
dan Yaya, juga Abang Bakhtiar sekali gus.

Demi tuhan, tanpa secubit cinta pun pada lelaki itu,
aku pasrahkan diri mengheret kaki menapak ke alam
rumah tangga dengan harapan besar agar cinta kami
tumbuh seiring dengan tanggung jawab besar yang sedang
ku pikul.

Ah, di saat jiwa aku sudah terisi sepenuhnya dengan
sayang dan cinta seorang suami, lalu bebayang Along
kembali mencari? Kenapa Along perlu hadir di ketika
aku dan Abang Bakhtiar, serta anak-anak sudah membuang
jauh derita dan kekecewaaan lampau?

Kenapa juga masih ada nama Along yang kukira bakal
meragut sebahagian atau mungkin juga segalanya yang
aku miliki kini? Inginku hamburkan gelisah ini di dada
Abang Bakhtiar, namun kelibatnya masih samar-samar di
malam ini.

Barang kali, jejarinya sedang erat bertaut dengan
jemari Along yang terlantar kaku, barang kali juga dia
kini asyik menatap wajah pucat Along yang matanya
terpejam rapat, lalu memori antara mereka kembali
terselak, cinta yang terbenam mulai terkuak dan
akhirnya sayang akan terus bercambah.

Lalu, ke mana nak dicampaknya aku? Semudah itukah
permainan alam, hatiku merintih pedih. Dan entah jam
berapa aku terjaga, baru aku tersedar yang semalam aku
terjelepok tidur di sisi Boboy.

Bergegas aku bangun dan terus ke kamar. Hancur luluh
hati ini di saat cadar yang terbentang bersih langsung
tidak terusik.

"Along dah sedar semalam, kata doktor keadaannya
stabil. Bakhtiar akan bawa Along pulang hari ni,"
lancar saja suara Umi mencecah ke telingaku seolah Umi
tidak ambil peduli langsung hati wanitaku yang kian
menghiris.

Tiba-tiba saja, jemariku digenggam Umi erat. Mataku
dan pandangan Umi berlaga. Kutahan saja air mata yang
ingin gugur, namun akhirnya ia luruh juga. Tubuh Umi
kurangkul erat, ternyata aku semakin berperang dengan
resah yang kian menjerat.

"Jangan fikir bukan-bukan Lia. Kita harus bantu Along.
Dalam keadaan sekarang, Along hanya mengharapkan
kita," suara Umi tenggelam timbul di pendengaranku.

Hinggalah di saat Along sampai ditemani Abang
Bakhtiar, aku masih membisu sepi. Aku hanya menurut
setelah tanganku ditarik Abang Bahktiar ke kamar.

"Emosinya tak boleh terusik, Lia. Abang harap Lia
faham mengapa abang rahsiakan perkahwinan kita
daripada pengetahuan Along," lembut suaranya menerjah
ke cuping telingaku. Dia masih seperti selalu, penuh
kasih sayang memaut bahuku lembut, seolah-olah dia
cukup mengerti perang kecil di jiwaku ketika ini.

"Lia harap, kali ini Lia tidak akan diminta untuk
berkorban lagi bang," pandangan kami bersatu dan tidak
semena-mena, dahiku dimamah kucupan hangatnya.

"Abang sayangkan, Lia," kata-kata itu kusambut penuh
sayu. Jika sebentar tadi aku kuat mengawal air jernih
yang ingin gugur, tapi kini segalanya luruh di bahu
seorang suami. Malam itu, buat pertama kalinya selepas
bergelar isteri, aku tidur berasingan daripada suami.

Along semakin pulih. Sesekali ada juga dia bersuara
berbual-bual denganku walau terkadang fikirannya
sedikit terganggu. Barang kali, disebabkan hentakan
yang kuat di kepala telah menyebabkan proses
pemulihannya agak lembab dan rumit sedikit.

Namun Along kukira beruntung mendapat Umi dan Abah
yang cukup banyak memberi semangat dan sokongan
padanya. Hampir dua bulan, Umi dan Abah cukup setia
menemani Along di rumahku, dan di dalam tempoh itu
juga, aku tetap menjalankan kewajipanku seperti biasa.
Makan pakai setiap penghuni di rumah itu masih tetap
di pundakku.

Along, selebihnya dia kulihat lebih banyak berbual
dengan Umi atau Abah.

Lalu di mana aku dicampakkan? Sihatkah aku? Sudah
makankah aku? Soalan-soalan seumpama itu sudah tidak
terlontar dari mulut Abang Bakhtiar.

Aku umpama orang asing, bukan lagi seorang isteri yang
perlu ditanya susah senangnya, suka dukanya. Yang
menjadi penguat nadiku kini hanyalah Boboy dan Yaya.

Bosan menguruskan kerja rumah, selalunya aku akan
melayan anak-anak itu dengan kerja sekolah mereka atau
mungkin juga menemani Yaya bercerita sebelum si kecil
itu terlelap.

"Kenapa panggil Mak Usu Mama?" Pernah aku terdengar
Along bersuara. Barang kali janggal mendengar
anak-anaknya memanggilku dengan panggilan itu. Aku
tersenyap.

Mataku memandang Umi, mengharapkan penjelasan daripada
mulut Umi.

"Budak-budak, sejak Lia mengambil alih tugas menjaga
mereka, dah terbiasa dipanggil Mama," lancar saja
bicara Umi.

Aku terkedu dan tertunduk. Tersayat hatiku dengan
kata-kata Umi. Sekali lagi aku pilu apabila hakku ke
atas anak-anak itu diketepikan. Aku mungkin bukan ibu
yang melahirkan mereka, tetapi aku adalah mama yang
menidurkan mereka saban malam setelah Along tanpa
belas kasihan lari daripada tanggungjawab.

"Mari makan dengan mama, Boboy," lembut suara Along
menyapa anak sulungnya, mengajak makan bersama. Boboy
tidak berganjak, sudahnya dia hanya menarik tanganku
ke dapur.

Demi tuhan, entah kenapa aku cukup bersyukur dengan
situasi itu. Terasa kemenangan berpihak kepadaku di
ketika ini.

Berdosakah aku?

Kejamkah aku menzalimi kakak kandung sendiri?

"Dah lama kita tak tidur sama-sama dengan papa kan,
mama? Dulu, papa selalu main guling-guling dengan
kita, mama jerit-jerit bila papa cium mama.

Tapi sekarang, papa dah tak macam dulu. Papa marah
mama? Kenapa papa tak tidur dengan mama macam dulu,"
patah kata-kata itu terlontar satu-satu dari mulut
Boboy yang sebu dengan nasi.

Hampir terlepas cawan yang kupegang. Dan di saat aku
ingin membalas kata-kata itu, batang tubuh Along
rupanya sudah tercegat sedari tadi di ambang dapur.
Wajahnya merona merah, tajam matanya menikam mataku
dan akhirnya tubuh yang sedia lemah itu terkulai rebah
ke lantai.

Umi menjerit, Abah seperti ribut terus menerpa ke arah
Along yang tersadai sedangkan aku masih terkaku. Ah,
petaka apa kali ini. Sudahnya aku hanya tersedar
setelah melihat Abang Bakhtiar yang entah bila sampai
dari pejabat, gagah mengendong tubuh Along ke kereta.

Kupasti, Along akan segera dikejarkan untuk mendapat
rawatan segera. Dia pastinya terkejut, pasti cukup
tertekan dengan setiap patah perkataan yang terlontar
dari mulut Boboy. Aku terduduk.

Kalut otakku berfikir, membuat andaian demi andaian,
menggambarkan segala macam bentuk cerita yang bakal
terlakar setelah segala lakonan kami akhirnya sampai
ke penghujung. Sesak dadaku memikirkan penerimaan
Along.

Malam itu, sekali lagi dadaku bergolak hebat. Abang
Bakhtiar tidak pulang-pulang. Ku congak waktu yang
berjalan, kalau tidak tersilap perhitungan, sudah
hampir 8 jam dia menemani Along yang kembali mendapat
rawatan. Kata doktor, Along terkejut dan gegaran di
otaknya kembali perlu dipulihkan.

"Berita itu benar-benar mengejutkannya. Umi takut
Along tak dapat menerima kenyataan," kata-kata Umi
kutelan sahaja. Apa maksud Umi menyatakan sebegitu
padaku? Menagih pengorbanan lagikah? Aku bersoal-jawab
sendiri.

"Lalu, apa usaha kita, Umi?" Sengaja aku bertanya,
cuba mengorek apa sebenarnya yang terlakar dalam
fikiran Umi.

"Entahlah, Lia. Bahktiar pun nampak bingung. Seharian
dia menunggu Along, makan minum pun tak diendahkan,"
kata-kata Umi menyengat naluri wanitaku.

Begitu sekali tingkah Abang Bakhtiar? Begitu sekali
dia menghambakan diri pada perempuan yang suatu ketika
dulu meremuk-redamkan jiwa lelakinya? Dan begitu
sekalikah sayangnya pada Along?

Ah, lelaki itu pencinta yang setia. Itu sudah
kumaklumi sejak dari dulu lagi, namun bahtera
perkahwinan itu karam di tengah pelayaran.

Aku melawat Along keesokannya. Bergegar naluri seorang
isteri tatkala melihat suaminya terlentok di sisi
katil sambil jemarinya erat bertaut dengan jemari
Along yang masih tidak sedarkan diri.

Aku melangkah tabah. Biarlah untuk kali ini, di saat
segenting ini, biarlah aku mengalah lagi. Aku
menyentuh perlahan bahu Abang Bakhtiar dan dia
terbangun. Matanya merah, wajahnya cukup jelas
memancarkan kekusutan di fikiran.

"Maafkan abang sebab tak pulang ke rumah semalam,"
terharu benar suara itu masuk ke jantungku.

Ah, dia sesungguhnya suami yang terlalu baik. Tidak
kering dan tidak pernah lokek dengan kata maaf sejak
dari dulu.

"Bagaimana dengan Along?" Suaraku kedengarannya
sedikit tegas. Sebenarnya aku cuba untuk menutup
getaran hati yang sering benar berkocak.

"Stabil kata doktor. Mungkin boleh pulang esok," mata
Abang Bakhtiar seolah mencari mataku. Begitulah dia,
cukup prihatin dan peka dengan setiap tingkahku selama
ini.

"Maafkan abang kalau abang seolah mengabaikan Lia
sejak akhir-akhir ini."

Ah... luluh hatiku mendengar pengakuan itu. Jadi,
benarlah aku telah diabaikan selama ini, benarlah dia
seperti menolak diriku ke tepi. Pada hal selama ini
setiap yang kurasa itu sedaya mungkin kuanggap sebagai
permainan perasaan sendiri. Dan rupanya ia adalah
hakikat yang diakui oleh suamiku sendiri.

"Bawalah Along pulang, bang. Apa pun yang bakal
berlaku, biarlah kita hadapinya bersama," kata-kataku
serak.

Namun kupasti, aku sudah seikhlas mungkin bersedia
untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan
berlaku. Mendengar saja azan Subuh berkumandang, Abang
Bakhtiar berpaling. Dia menghampiriku.

Lama wajahku direnung sebelum dia mengajakku solat
Subuh berjemaah dengannya. Aku akur. Itu bukan sesuatu
yang luar biasa. Malah, sudah menjadi rutin dia sering
menjadi kepala jemaah setiap kali kami bersolat di
rumah.

Aku cukup senang, cukup tenang menghambakan diri pada
yang Esa di keheningan Subuh itu. Selesai salam
diberi, seperti biasa aku menadah tangan menanti doa
yang bakal dibacakan suamiku. Panjang doa Abang
Bakhtiar kali ini dan dia kelihatannya cukup
bersungguh-sungguh.

Lebat air mataku kembali mengalir, deras juga debaran
yang bergendang di dada. Setelah doa diaminkan, pantas
seperti selalunya, tangan suami yang kusanjung itu
kukucup kemas, dan kali ini lama kucupanku hinggap di
tangannya.

"Abang ceraikan Lia dengan talak satu."

Sayup-sayup suara itu mencecah ke telinga. Denyutan
nadiku seolah terhenti......

++++++++++++++++++

2 comments:

Anonymous said...
January 5, 2009 at 1:54 PM

i think the archive you wirte is very good, but i think it will be better if you can say more..hehe,love your blog,,,

Anonymous said...
January 7, 2009 at 3:26 AM

Although there are differences in content, but I still want you to establish Links, I do not know how you advice!